Tag Archives: jika jika jika

Jika..

Assallammualaikum.. Apa khabar semua?

Hari ni saya nak berkongsi satu cerpen yang pernah saya tulis sewaktu di bangku sekolah dahulu.. Semoga anda terhibur membaca cerpen ini 🙂

Akhirnya, kembali jua aku ke desa permai ini. Keindahannya masih sama dan asli, seperti mana aku tinggalkan 3 tahun yang lalu demi setitik ilmu Allah. Kelapa nan sebatang melambai-lambai seakan-akan menyambut kepulangannku. Bayu bertiup lembut membelai pipi yang sekian lama dielus oleh angin sejuk kota London . Kicauan beburung dan unggas seakan-akan satu temasya girang meraikan dirku.

Ah..betapa aku rindukan desa ini. Yang lebih penting, senyuman dan belaian ibu sentiasa menggamit kepulanganku. Kehangatan pelukan ibu tidak dapat menandingi apa jua. Bau masakan ibu sentiasa terawang-awang di dapur rumahku di kota London bila lebaran menjelma. Kini segalanya ada di depan mata. Anak desa ini pulang jua untuk menabur benih bakti di tanahair tercinta.

Dua hari aku berehat di rumah, bermanja-manja dan berbual-bual berbagai-bagai perkara dengan ibu.  Hari ini, hati ini seakan-akan terpanggil untuk menikmati angin bendang. Kehijauan padi yang baru tumbuh, pepatung yang berterbangan dan hembusan angin yang girang menenangkan hati. Di bendang inilah segala pahit dan manis cinta pertamaku tercipta.

Aduhai, segarnya udara di sini.. Aku duduk di dangau, menikmati & melihat pepatung yang bersenda riang, dan bangau-bangau yang putih bak salju, membuat aku tersenyum riang.  Angin yang kadang-kala kencang, kadang kala sepoi-sepoi bahasa, menyamankan jiwa.  Gambaran kehijauan dan ketenangan ini sentiasa terlekat kemas di mindaku.  Dari jauh, kelihatan seseorang menghala ke dangau. Aku menajamkan penglihatan. Mata ini seolah-olah tidak percaya bila berdiri di hadapanku seorang insan yang amat aku rindui. Engkaukah itu, Ameer? Demi Tuhan, kalau tidak kerana sepasang mata helangmu dan senyuman yang amat ku rindui itu, pasti dirimu tidak aku kenali. Engkau jauh berubah, badanmu yang sasa semakin kurus, kulitmu yang cerah, berubah dimamah cahaya mentari dan aku lihat matamu menyimpan sesuatu yang tidak dapat aku tafsirkan.

“Assallamualaikum Meera… Apa khabar?”, sapamu… Aduh, itulah suara yang aku rindui, yang ingin aku dengari sejak tiga tahun yang lalu.. Suara yang tergiang-giang di corok ingatan dah pendengaranku..

“Waalaikumsalam.. Meera sihat.. Ameer macam mana?  Kenapa makin kurus ni?  Mari la duduk kat sini”, aku menjawab dan mempelawa kau duduk..

Engkau Cuma tersenyum, sambil matamu tajam menikam hatiku.

“Cantiknya Meera sekarang, lebih cantik dari dulu..”,  pujian dan renunganmu membuatkan aku tersipu malu. Betulkah aku semakin cantik atau engkau cuba mengambil hatiku sebagaimana yang biasa engkau lakukan dahulu.

“Eh, mana ada, biasa aje la.. Mungkin sebab lama tak jumpa kot, tu yang buat Ameer rasa Meera makin cantik.. Tak pun, Ameer dah kena pakai cermin mata ni sebab dah rabun”, kataku, sekadar mencuba melenyapkan debar di dada.

Engkau tergelak, dan kala angin meiupkan rambutmu, aduh, hatiku bergetar lagi.. Aduhai kenangan, janganlah datang memeluk dan menghanyutkan aku!!!

“Ameer, marilah duduk, tak penat ke berdiri saja?” aku mempelawa lagi.

Pelawaanku mempersila kau duduk kau tolak dengan hormat. “Maaf”, katamu, “badan bersalut Lumpur  ni, peluh, kotor”, katamu lagi.

Aku sekadar tersenyum.  Kemudian, masing-masing hilang bicara.

“Lepas solat jumaat esok, jemput datang rumah ye, emak ada buat kenduri doa selamat sebab Meera dah balik sini”, aku bersuara mematikan kesunyian.

“Insya-allah.. Ameer datang dengan nenek nanti.. Urm, Ameer balik dulu la eh, nak mandi.. Kalau perlu apa-apa pertolongan unuk kenduri tu, bagitau la.. Ada masa jemput datang rumah, nenek dah rindukan Meera, Ameer pun sama..”.

Jantungku berdegup laju, seakan seorang pemecut antarabangsa ketika itu. Adakah aku yang salah mendengar, atau benar kau katakan kau rindukan aku, Ameer??

“Ameer balik dulu ye.. Jumpa lagi.. Asallammualaikum”

“Waalaikumsalam..”, jawabku, sambil tersenyum.

Seketika kemudian, engkau berjalan pergi.  Langkahmu ku soroti dengan imbasan nostalgia yang sentiasa ku simpul rapi dalam peti ingatan.

Segala-galanya bermula lewat 15 tahun yang lalu bila ayah ditukarkan ke Bandaraya Bersejarah ini. Selepas mendaftar, aku termanggu-manggu keseorangan di hadapan Bilik Pengetua.

“Ameer, ni, tolong bawa dia ke kelas kamu.. Pelajar baru ni”, kata Pengetua kepadamu.

“Baik Tuan Pengetua”, jawabmu.

Aku melemparkan senyuman padamu.  Kau tersenyum kembali dengan penuh mesra.

“Jom, saya bawak awak ke kelas”.

“Siapa nama awak?” soalan pertama buatku.

“Ameera Diana”.

Bila ku katakan namaku Ameera Diana, engkau seakan tekejut.

“Eh, nama kita seakan-akan sama lam nama saya Ameerul Hakim.  Selamat datang ke kelas kami Meera!”.

“Terima kasih Ameer..”.

Sebaik sahaja melangkah ke kelas, engkau membuat pengumuman.

“Kawan-kawan, ada orang baru dalam kelas kita”.  Berpuluh-puluh biji mata tertumpu padaku.  Malu pula rasanya.

“Assallamualaikum semua, nama saya Ameera Diana Amirudin.  Saya tinggal di Taman Seri Desa.. “

“Pheewittttttttttttt.. dah ada boyfriend ke?” terdengar siulan dan usikan nakal seorang pelajar lelaki di bahagian belakang kelas.

“Dah, tak payah nak menggatal Sham”, engkau segera membidas, diikuti dengan batuk-batuk kecil dari pelajar sekelas.

“Meera boleh duduk sebelah saya”.

Aku mengangguk.  Mulai saat itu, akulah peneman setia di sebelahmu dari saat itu hinggalah berakhir zaman persekolahan.

Pada waktu rehat, seperti seorang pemandu pelancong, engkaulah yang membawaku ke seluruh kawasan sekolah, ke kutub khanah, rumah Allah dan ke kantin.

Dari saat itu, aku terasa seolah-olah ada satu ikatan yang unik antara kita, namun aku tidak tahu apa sebenarnya ikatan itu. Mulai hari itu, engkaulah yang melindungi diriku sehinggakan orang menyangka ada ikatan lain antara kita. Namun, hanya kita yang mengerti betapa tulus dan ikhlasnya talian kita ini.

Hari-hari di sekolah dan kelas baru itu, tidak membawa sebarang masalah kepadaku, kerana kau ada di sampingku Meer.. Rumahmu selang beberapa rumah sahaja dari rumahku, maka engkau sering singgah di rumah sebelum ke sekolah, dan kita akan berbasikal bersama-sama.  Andainya ada aktiviti tambahan di sebelah petang, engkau tetap menunggu untuk beriringan denganku, hinggakan ada waktunya, kau sengaja mencari alasan untuk tidak menghabiskan permainan bolamu dengan rakan-rakan.

Disebabkan engkau selalu singgah di rumah. bonda dan ayahanda sudah mengenali dirimu dan keluargamu.  Sering bondaku memasak lebih makanan untuk bekalan aku dan engkau.  Hari Sabtu dan Ahad juga, engkau sering datang ke rumah, memberikan aku bimbingan ddalam pelajaran, sementelah aku ini lemah dalam matapelajaran Matematik.  Aku pula membantu engkau menguasai pelajaran Bahasa Inggeris.  Bonda dan ayahanda nampaknya senang dengan kedatanganmu.  Agaknya mereka terpikat pada perangaimu yang ringan tulang, sentiasa menolong mengemas halaman dari rerumput, membersihkan longkang, mencuci kereta, itu semua dilakukan tanpa disuruh.  Ada kemungkinan kelembutan kata-kata dan adab sopan yang diturunkan kepadamu menambat hati mereka.  Mungkin juga kerana aku anak tunggal dalam keluarga, maka kehadiranmu menyerikan keluarga kecil kami.  Aku ingat lagi kata-katamu dia suatu hari, semasa kita mengulangkaji pelajaran.

“Ameer suka betul dengan emak dan ayah Meera.  Rasa macam keluarga sendiri.  Meera beruntung tau dapat emak dan ayah macam ni.. Ameer tak pernah rasa kasih sayang emak dan ayah, sebab mereka meninggal masa Ameer kecil lagi, kata nenek, rumah kami terkena litar pintas dan terbakar.  Mujur masa tu Ameer ada di rumah nenek.. ‘.  Sayu wajahmu ketika menceritakan padaku kisah itu.

Tiba-tiba bondaku mencelah, entah dari mana dia datang, kami pun tidak sedar.

“Tak apalah Ameer, Ameer kan dah ada Meera, makcik dengan pakcik.. Anggap je kami macam keluarga Ameer sendiri.  Lepas ni panggil je la makcik dengan pakcik, ayah dengan ibu, ya nak?”.  Aku pandang pada bondaku, dia tersenyum, kau juga begitu, namun ada genangan air mata di kelopak matamu.

“Terima kasih makcik.. tak pernah ada orang yang anggap saya macam anak sendiri.. “.. bergetar suaramu takala kau sebutkan ayat itu.

“Eh, kan ibu dah kata, jangan panggil makcik, panggil IBU, ya nak?”, balas ibu mesra sambil mengusap kepalamu.

“Apa yang bising-bising nih?”, terpacul pula kepala ayah di ruang belajar itu.  “Tak ada apa-apa bang, Cuma kita dah ada seorang lagi anak baru, Ameer..”. jawab ibu.

Ayah tersenyum.. “Ameer jangan malu-malu, buat macam rumah sendiri, ayah pun dah lama anggap Ameer macam anak sendiri”.

Engkau bingkas bangun, bersalam dan mengucup tangan bonda dan ayahandaku.  “terima kasih, ayah, ibu”.  Lirih suaramu, menahan sebak.  Aku juga menahan sebak, dan ayah bingkas menghentikan suasana kesedihan itu dengan mengajak kita semua makan mee rebus di pekan.

Masihkah engkau ingat lagi peristiwa itu Ameerul Hakim?

Hari berganti hari, keakraban kita semakin ketara.  Tiada rahsia yang tersembunyi, kita mencari ilmu, bergurau, bersedih dan bergembira bersama-sama. Prestasi pelajaranku meningkat kerana pertolonganmu.  Kau juga sudah mampu berbahasa Inggeris walaupun masih kurang fasih.  Di mana ada engkau, di situ ada aku.  Nama kita tersohor di sekolah sebagai duet yang serasi dalam apa-apa pertandingan pidato, syarahan, bacaan, karangan dan sebagainya.  Sebut sahaja nama Ameerul Hakim dan Ameera Diana, dari kelas peralihan, hinggalah kepada tingkatan enam atas, semuanya kenal dengan kita.  Boleh dikatakan, kita yang mendominasi pentas penghargaan untuk setiap pertandingan.  Owh, memang aku cukup seronok digandingkan bersamamu untuk apa-apa pertandingan dan kerja kumpulan, kerana kita menghasilkan sesuatu yang luar biasa, sesuatu yang mantap bila digandingkan.  Pastinya itu hasil kerjasama dan persefahaman yang kita ada.

Dek kerana kesohoran kita di sekolah, aku banyak mendapat surat-surat dari mereka yang ingin berkenalan denganku.  Maka, engkaulah yang jadi sasarannya, kerana mereka semua berbaik-baik denganmu untuk mendekati aku.  Masih aku ingat lagi, setelah habis aktiviti persatuan di sekolah, kau datang kepadaku dengan wajah yang kelat lantas menghulurkan kepadaku beberapa pucuk surat.

“Apa ni?”, tanyaku kebodoh-bodohan.

“Surat saman!”, jawabmu, dengan wajah yang masih tegang.

“Saman apa?”, aku termanggu-manggu lagi.

“Mana Ameer tau.. Nah, buka dan baca sendiri la!”, lantas surat itu kau letakkan dalam pegangan tanganku.

Bermacam-macam saiz surat-surat itu, ada yang berwarna merah jambu, biru, hijau dan putih. Eh, ada yang berbau wangi pula tuh.

Aku memilih yang bersampul merah jambu.  Perlahan-lahan ku buka sampulnya.  Tergelak kecil aku takala membaca isinya.  Ada yang ingin berkenalan denganku rupanya!

“Meera dapat saman cinta la Meer”..  kataku dalam gelak!

“Huh, sukalah tu!!”, jawabmu dengan cemikan di wajah.

“Kenapa pulak dengan Ameer nih?  Bukan Meera layan pun diaorang tu”, balasku, merenung matamu mengharapkan pengertian.

“Ameer tak suka kalau ada budak-budak lelaki lain kacau Meera.  Meera kan Ameer punya!”

“Huh?? Ameer punya?? Apa maksud Ameer ni?”, aku keliru lagi.

“Tak ada apa-apa la.  Jom balik”, keras suaramu dan kau berjalan laju meninggalkan aku.

“Meer, nantilah kejap, janganlah laju sangat!”, terjerit-jerit aku memanggil, namun kau tetap berjalan pantas dan tak menoleh.  Kala itu aku tak tahu yang telah ada naluri cinta dalam hatimu untukku.  Oh, dungunya aku Meer!

Esoknya, kala kau datang ke rumah untuk beriringan ke sekolah, kau meminta maaf kepadaku.

“Ameer minta maaf pasal semalam.  Ameer Cuma tak suka aje budak-budak ni kacau Meera.  Kita kan sekolah lagi, mana boleh bercinta-cinta..”, katamu sambil menekur bumi.

“Tak apa, Meera maafkan. Meera pun tak nak layan budak-budak ni, setakat kawan aje bolehlah.  Meera kan ada Ameer”, sengaja aku mengusik engkau.

Wajahmu merona merah, dapat ku lihat di sebalik kecerahan kulitmu itu! Comel! Hehehe..

“Dah, jom, nanti kita lambat ke sekolah”.

“Ok”, dan kita berbasikal dengan girang, ditemani suria yang menyinar terang dan pepatung yang lincah berterbangan.  Owh, indahnya suasana itu!

Detik-detik waktu bersamamu, seakan-akan berputar ligat.  Peperiksaan PMR bakal menjelang, dan kita berusaha dengan lebih gigih lagi.  Ada kalanya, kita berdua tertidur di meja belajar,, dan akhirnya digerakkan oleh bondaku untuk makan.  Nendamu juga tidak menghalang perhubungan kita.  Ada kalanya, dia juga datang bermalam di rumahku bersama-samamu.  Bonda dan ayahandaku juga menumpang kasih kepada nendamu, sementelah orang tua mereka juga jauh di hujung negeri.  Aku masih ingat semasa kita makan bersama-sama dengan nendamu dan keluargaku di pekan, di kedai nasi beriani kegemaranmu itu.  Nendamu mengucapkan rasa berbangga dan terima kasih yang tidak terhingga kepada bonda dan ayahandaku kerana mengganggap dia dan engkau sebahagian dari keluarga kami.

“Mariah, Din, mak ucapkan terima kasihlah sebab ambil Ameer sebagai anak angkat kamu, dan anggap mak ni macam emak kamu sendiri.. Mak tak pernah tengok Ameer gembira macam ni.. Setiap hari dia bersemangat aje nak pegi sekolah, nak belajar.. Dia dah tak ada rasa rendah diri lagi, sebab katanya sekarang dia ada emak, ada ayah, ada Meera, dia tak sorang-sorang lagi macam dulu..”  Sampai di situ, nendamu diam, mengusap rambutmu dengan pandangan penuh kasih sayang.

“Mak, kami pun suka dengan si Ameer ni, lagi pun kami bukan ada anak lelaki.. Sejak dia datang, rumah kami tak pernah sunyi mak, ada saja lawak jenakanya.  Mak jangan risau-risau lagi, kami akan jaga Ameer..” bondaku menyambung sambil menggenggam tangan nendamu.

“Dah, mari la kita makan..” ayah menyampuk.. Ayah memang cepat menyelamatkan keadaan bila melihat kami mula dilanda emosi.. hehehe.

2 hari sebelum PMR, akibat keletihan, engkau tertidur di atas meja belajar itu setelah sama-sama mengulangkaji matapelajaran sejarah.  Aku lihat ada ketenangan dalam wajahmu.  Pipimu yang kemerah-merahan, rambut lembut yang menutupi dahimu dan sepasang lesung pipit yang menjadi igauan gadis-gadis di sekolah, mencorakkan ketampanan dirimu.  Meskipun kau hidup serba kekurangan tanpa belaian ibu dan ayah, semangatmu masih kental dan waja untuk menghadapi segala cabaran.  Adakah aku akan dapat melihat ketenangan ini selama-lamanya?  Aku mendoakan agar engkau tidak berubah Meer, kekal menjadi lelaki yang terbaik pernah aku temui dalam hidupku.

Sedar tak sedar, kita telah menduduki PMR.  Setelah habis peperiksaan, kita banyak membaca buku-buku, majalah-majalah dan bertukar-tukar idea dan pandangan.  Kita berdoa agar masing-masing dapat bersekolah di sekolah yang sama setelah mendapat keputusan PMR nanti.  Ya, kita gusar untuk berjauhan, kerana sudah pastinya kita kehilangan sahabat dan penyaing dalam pelajaran dan kokurikulum.

Debaran penantian keputusan PMR itu akhirnya membuahkan kegembiraan. Kita mendapat keputusan yang cemerlang.  Ketika kita berdua mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MRSM, ada cahaya yang terpancar di wajahmu berserta dengan titisan kesyukuran.

Kejauhan dengan keluarga menyebabkan aku lebih intim dengamu. Engkaulah segala-galanya bagiku, tempat aku menumpang teduh dan kasih, kerana tiada sesiapa lagi yang boleh ku harapkan di MRSM ini. Kita bagaikan belangkas, ke hulu ke hilir bersama-sama.  Engkau amat mengambil berat tentang diriku. Kadang kala ku rasa engkau seperti pengawal peribadi yang sentiasa memastikan keselamatanku.  Aku seronok merasai pengalaman itu. Terasa bagaikan puteri yang dimanja dan di tatang dengan penuh kasih dan sayang.  Bertuahnya aku mengenali engkau, Ameer.  Penempatan kita di kelas yang sama sekali lagi mencetuskan pertanyan pelajar lain tentang keakraban kita.  Ada yang mengatakan kita pasangan kekasih, ada yang cemburu, ada yang suka, tak kurang yang mencemuh, namun kita tidak peduli dengan itu semua, kerana yang penting, kita berdua gembira dan berjaya bersama-sama.

Setelah tamat alam persekolahan, kita bekerja di bandar sementara mendapat keputusan peperiksaan SPM. Saat itu, ayahandaku yang tercinta pula meninggalkan diri ini, berdua dengan bonda. Bermula dari detik itu, engkaulah yang sentiasa berulang-alik ke rumahku, memastikan aku dan bonda selesa, membelikan barang-barang dapur dan sentiasa cuba menceriakan hati kami. Hati bonda tersentuh dengan kasih-sayang yang kau hulurkan sehingga bonda mengambilmu sebagai anak angkat. Nendamu juga nampaknya merestui ikatan kasih-sayang ini, apatah lagi engkau tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari keluarga sendiri yang lebih dahulu dimamah bumi.

Sedikit demi sedikit, aku sedari ada perasan baru yang menjalar dalam nadiku terhadap dirimu. Tetapi, aku sering mencantas putik itu dari fikiranku. Aku malu mengakuinya sedangkan aku tahu ianya benar. Mungkin kau juga menyedari perubahan diriku. Aku rasa segan bila berhadapan denganmu. Degupan jantungku kencang dan nafas seakan-akan tersekat. Saat kau ada di sisiku, aku merasa amat bahagia. Gilakah aku, Ameer?

Awal Februari, aku merengek minta engkau mencarikan benih bunga mawar untuk diriku sebagai hadiah hari jadi. Engkau tersenyum dengan permintaanku. Bila kau katakan engkau akan hadiahkan sireh junjung sebagai hadiahnya berserta dengan bunga rampai, aku terdiam seketika. Aku tahu ada makna tersirat di sebalik kata-katamu itu. Tapi, aku tak berani untuk bertanya lebih lanjut, dan perbualan ku ubahkan kepada perkara yang lain. Bila suria melimpahkan cahayanya pagi itu, ku dapati telah ada 2 pasu bunga mawar yang sedang berkembang di depan halamanku. Keriangan membaluti diri ini.

Di dangau itulah kali pertama kau lafazkan kata sayang kepadaku. Katamu, perasaan itu tak dapat kau sorokan lagi. Ia seolah-olah lalang, makin dipotong, ia lebih lebat meninggi. Terasa panas wajahku bila kata-kata itu kau lafazkan. Aku juga tak dapat menghalang lagi rasa cinta yang menjalar dan melilit tangkai hatiku terhadap dirimu.

Sejak itu, kita lalui hari-hari ini dengan cahaya kebahagiaan. Keputusan peperiksaan membawa berita tentang masa depan yang lebih bercahaya. Berkat usaha kita, menara gading menjemput kita menimba ilmu. Kali ini, kita terpaksa berpisah, Meer. Engkau akan pergi ke UTM di selatan sana dan aku pula ke ITM di bandar metropolitan.

Kejauhan membuahkan kerinduan, kejauhan mengajar kita erti kesetiaan. Helaian demi helaian bertukar tangan, disertai dengan madah-madah cinta kita yang sering mendambakan pertemuan. Kedatangan musim cuti tidak kita lepaskan untuk bertemu muka.

Desa kita kemudiannya dikunjungi seorang guru muda yang telah banyak membawa perubahan. Salah satu pembaharuan yang dibawanya ialah mengadakan kelas tuisyen untuk putera-puteri kampung kita secara percuma. Balai raya yang disediakan kerajaan digunakan sebagai pusat mencurahkan ilmu. Kebetulan, aku sedang bercuti ketika itu, dan tenagaku untuk mengajar bahasa Inggeris amat diperlukan. Dengan rasa bangga bercampur terharu aku menerima pelawaan tersebut. Tugas membuatkan aku rapat dengan guru muda itu yang membahasakan dirinya sebagai Abang Sham. Bibit-bibit cemburu mula bersarang dalam hatimu. Ah.. engkau terlalu berprasangka, Meer. Masakan aku ada hubungan dengan Abang Sham itu.

Hari itu, seperti biasa, aku ke balai raya mencurahkan baktiku. Setelah ilmu yang dimiliki di kongsi bersama, putera-puteri harapan bangsa melangkah pulang. Kala itu, hanya aku dan Abang Sham saja yang tinggal. Hembusan angin yang agak garang menerobos tiba-tiba melalui dedaun tingkap. Berkejar kami berdua untuk mengutip kertas-kertas yang bertaburan. Ketika itulah engkau masuk, Meer. Demi melihat kami berdua, engkau terus berlalu sambil menendang pintu tanpa bercakap sepatahpun. Kenapa dengan dirimu, Meer?

Peristiwa tempoh hari mengusutkan fikiranku. Puas aku memujukmu, tapi kau enggan bertemu denganku. Abang Sham, dengan rasa bertanggungjawab dan penuh kelakian menjejakimu di rumah dan menerangkan perkara yang sebenar. Walaupun kebenaran telah engkau ketahui, kau tidak langsung meminta kemaafan dariku. Tapi, tidak sedikit pun aku berkecil hati, bagiku, kedatanganmu ke rumah petang itu membuktikan yang engkau tidak marah lagi padaku.

Bila aku melangkah ke tahun kedua, diriku semakin dicemburui masa. Aku terlalu sibuk diuliti tugasan, ilmu dan persatuan. Masa yang ada harus aku peruntukan sebaik-baiknya. Mungkin juga silapku, aku agak lambat membalas warkah-warkahmu dan kedatangan helaian surat dariku kepadamu juga agak jarang diutus. Engkau mula menyangka yang bukan-bukan terhadapku. Katamu, aku sudah beralih pandang pada jejaka-jejaka kota yang lebih hebat darimu. Kelemahanku mula kau cari dan kelemahanmu juga kau jadikan alasan.

Tanpa pengetahuanku, engkau telah menjejakkan kaki ke Bandar Anggerik ini bersama temanmu. Sumpah, Meer, aku benar-benar tidak nampak dirimu ketika berada di Kafe Budisiswa itu. Ketika itu, aku sedang makan dengan rakan setugasku untuk subjek Mooting, Fidayatul Naim. Kemudian, kau juga nampak kami berdua naik kereta bersama-sama. Meer, kalaulah engkau ikut bersama-sama, pasti engkau tahu arah tujuan kami. Kami ke Perpustakaan Negara, Meer.

Mengeluh aku bila temanmu yang sekampung dengan kita menceritakan betapa marahnya engkau padaku hinggakan sutera biru yang kau belikan untukku kau campakkan jauh di bawah katil. Puas aku mendail telefon bimbit rakanmu dan merayu untuk berbicara denganmu, tetapi engkau enggan bersuara dengaku. Surat-surat yang ku beri tidak lagi mendapat balasan. Cuti semester memberikan peluang untuk aku bersemuka denganmu dan memberitahu cerita yang sebenar. Dangau di sawah itu juga yang menjadi saksinya. Malangnya, engkau tidak mahu menerima alasanku. Patutlah aku jarang menulis surat padamu, rupa-rupanya aku berubah kasih, itulah katamu padaku. Kemudian, kau mula menimbulkan berbagai-bagai alasan. Kononnya, lumpur yang terpalit di badanmu dan keringat yang mengalir di tubuhmu menyebabkan aku jijik melihatmu. Harta dunia yang tidak kau miliki juga menyebabkan kau mengatakan aku perempuan materialistik yang memilih lelaki kerana hartanya.

Engkau silap Meer. Kerana kehalusan budi-bahasamu itulah aku jatuh cinta padamu. Disebabkan oleh perhatianmu dan sikap ambil beratmu itulah aku sayang padamu. Soroton matamu dan manis senyummu itulah yang menyebabkan kerinduan menjerat diri bila kau tidak aku ketemui. Sedih sungguh aku mendengar tuduhanmu itu, Meer. Tidak ku sangka seorang bakal jurutera mempunyai fikiran sesempit dirimu. Sangkaku, percampuran di menara gading akan mematangkan dirimu, tapi aku silap. Bagaimana engkau akan berhadapan dengan dunia andainya perkara seremeh inipun tak dapat kau tangani.

Cemburumu meledak bila aku dipinang oleh Abang Shariman, peguam muda dan anak Ketua Kampung. Meer, pinangannya ku tolak dengan baik. Masakan aku sanggup menerima pinangan dari orang lain sedangkan dalam hatiku ini hanya terpahat namamu saja. Entah syaitan mana yang merasukmu hinggakan kau mahu talian kasih yang kita bina sekian lama ini diputuskan. Sudah lupakah engkau pada janji-janji yang kita sulamkan bersama, tidak ingatkah kau pada mimpi-mimpi yang kita lakarkan berdua? Mana ikrarmu untuk bersama dengan diriku hingga akhir nanti?

Aku cuba memujukmu dan mengatakan aku amat menyayangimu, dan jika kau mahu aku menjadi milikmu, aku sedia mendirikan mahligai sekarang. Tapi, kau menolak. Katamu, kau masih lagi belum bersedia. Waktu menyaksikan penderitaan yang aku alami setelah perpisahan itu. Teman-teman menasihatiku supaya melupakanmu, tapi semakin kuat aku cuba untuk melupakanmu, semakin kuat akar ingatan itu mencengkam segenap sarafku.

Aku rindukan kau dan aku tahu kau juga masih rindukan aku, sayangkan aku dan yang penting kau masih lagi mencintaiku. Menurut bonda, engkau semakin kurus dan mukamu cengkung, kau juga tak pernah lupa bertanyakan keadaan diriku setiap kali kau menjenguk bonda, engkau juga sering merenung gambarku bila album diselak. Mengapa engkau terlalu ego untuk meminta kemaafan kepadaku? Sungguh Meer, jika kau menemuiku dan meminta kemaafan, pasti dirimu ku sambut bagaikan putera.

Dalam diam, ku akui yang aku masih lagi menaruh harapan yang engkau akan bersama-samaku semula. Alhamdulillah, berkat kesungguhanku, akhirnya berjaya juga aku menamatkan pengajianku dalam bidang undang-undang ini. Semenjak engkau bekerja, jarang sekali kau menjenguk bonda. Dia rindukan engkau, sering si ibu tua itu bertanya tentang dirimu padaku. Apa yang harus aku katakan?

Aku sudah puas berendam air mata mengingati dirimu. Adakah kau telah lupakan kami, Meer? Harapanku untuk melihat kita bergembira bersama semula bagai sehelai kapas yang melayang bila nendamu datang membawa perkhabaran yang kau akan membina mahligai dengan gadis sepejabatmu. Geram? Sedih? Kecewa? Marah? Entahlah, tak dapat aku gambarkan perasaanku ketika itu. Kolam air mata telah kemarau bila kau tutup hatimu untukku.

Ketika kita bertemu di dangau itu, kau menunjukkan muka yang selamba. Bila aku menyuruh engkau merenung mataku dan menyatakan yang cintamu tiada lagi buatku, kau tidak dapat melakukannya. Matamu berkaca saat aku lafazkan yang aku masih menyayangi dirimu. Tapi, kau tetap tidak mahu mengakui kebenaran yang engkau sendiri tahu. Katamu, gadis pilihnmu itu lebih baik dari aku yang telah bergelumang dengan nista dan dusta. Cukuplah semuanya, katamu dan kau meninggalkan aku yang tenggelam dalam sendu bila kau katakan kau tidak mahu melihat diriku di hari persandinganmu, kau tak mahu majlismu rosak dengan kehadiranku. Sampai hatimu, Meer.

Peluang untuk melanjutkan pelajaran ke seberang laut tidak aku lepaskan. Aku sudah bosan dengan masalah dan kenangan denganmu yang melilit diriku. Tentang bonda, usahlah kau risau, anak angkat bonda akan datang untuk menjaganya. Selamat tinggal, Meer. Aku doakan kau bahagia hingga ke akhir hayat.

Surat dan telefon menjadi penyambung kasih antara aku dan bonda nun di desa. Kata bonda, mahligai yang kau bina hancur di usia setahun. Kata bonda lagi, kau sering membandingkan isterimu dengan diriku. Bila dia memasak, kau katakan masakannya tidak sesedap hasil tanganku, bila dia berpakaian, kau katakan warna itu tidak sesuai dan hanya cantik dipakai olehku dan macam-macam lagi. Perempuan manalah yang sanggup dibandingkan dengan perempuan lain setiap hari, lebih-lebih lagi oleh suami sendiri. Kau terlalu kejam, kau menghukum insan yang tidak berdosa itu kerana dendammu pada diriku. Natijahnya mungkin tidak kau terima sekarang, tapi ingatlah, Meer… sesungguhya hari pembalasan itu milik yang Esa!

Saat bonda nyatakan yang aku akan pulang, engkaulah orang yang paling gembira. Penuh halaman rumah kau tanamkan dengan mawar kegemaranku. Kau mengecat rumah, membelikan kain untuk bonda dan bermacam-macam lagi. Saban detik, kau menghitung hari kepulanganku.

Cahaya merah yang mula memenuhi alam menyedarkan aku dari lamunan. Terlalu jauh aku bawa diriku, menyelak dan menerjah semula ke memori usang kita berdua. Engkau kini rajin ke rumahku.. Seakan-akan ada makna yang tersembunyi di sebalik setiap kedatanganmu ke teratak burukku itu.

Tiap kali kau hadir, kau cuba mengajak aku kembali ke zaman silam, di kala kau dan aku hanyut bersama dalam alam percintaan. Ada kalanya kau berkias, menyatakan kau sunyi tanpaku dan kau mahu aku mengisi kesunyian itu. Sedangkan Nabi ampunkan umat, inikan pula aku yang kau tahu memang tidak pernah berdendam dengan sesiapapun. Apa sebenarnya yang kau mahu?

Pelawaanmu ke dangau petang itu tidak ku tolak. Hembusan angin dan kicauan beburung menyambut kehadiran kita. Padi yang menguning emas melambai-lambai ditiup angin. Satu demi satu lembaran memori ketika kita bersama-sama dulu kau lerai dari ikatan. Aku hanya menjadi pendengar. Sesungguhnya, memori itu sentiasa dan masih lagi tersimpan kukuh dalam ingatanku. Sejurus kemudian, kau berhenti dan meminta aku memandang wajahmu. Perlahan-lahan kau keluarkan sebuah kotak baldu kecil berwarna merah dari kocekmu, kau buka dan kau suakan kepadaku. Terkesima aku seketika, kelu lidahku untuk berkata-kata. Kau pandang wajahku, dan kau renung mataku. Ada cahaya keemasan di matamu ketika kau ucapkan kata-kata kemaafan pada diriku. Ada getar dalam suaramu ketika nyatakan sesalan yang amat sangat di atas kelakuanmu padaku dahulu. Kau mahu menebus kesilapan lalu dengan menyunting aku sebagai ratu hidupmu…tanpa ku, dunia ini tidak bermakna…itu kata penutupmu. Ku pandang sekilas ke arah cincin itu, dan kemudian kepadamu. Segaris senyuman terukir di bibirku… Ku lihat kau juga tersenyum..

Tapi, maaf, Meer. Senyuman ini bukan untukmu! Senyuman ini untuk tunangku, Zamree Iskandar yang sedang meniti batas di belakangmu. Bingkas aku bangun dan mendapatkannya, lantas mengucup tangannya. Ketika aku kenalkan tunang ku itu kepadamu, tiada kata-kata yang kau lafazkan.. Kaku badanmu, dan pucat wajahmu. Seketika kemudian, kita bertiga diselimuti kesepian. Kau lantas meminta diri, katamu banyak kerja yang belum kau selesaikan. Tanpa menoleh lagi, kau tingglkan kami berdua. Terluka kah engkau, Meer?

Abang Zamree aku kenali ketika sama-sama menuntut di luar negara. Dia 3 tahun lebih tua dariku. Ketika diri ini hampir lumpuh dan tumbang disebabkan luka yang kau toreh, dia sentiasa di sisiku, memberi semangat, perangsang dan perlindungan. Aku merana, terseksa dan kesakitan. Mujurlah Allah utuskan lelaki itu untuk merawat lukaku.

Sememangnya, bukan mudah untuk aku melupakan dirimu….Tapi, kau sendiri yang memberikan racun utuk aku matikan dedaun kasih, bebunga sayang dan akar-akar cinta yang membelit dan membenam setiap urat-sarafku.. Sikapmu membuatkan aku tawar hati padamu.. Hari ini hari persandinganku.. hari ini bermakna segala-galanya adalah nokhtah antara kita berdua. Akan aku buangkan jauh memori yang kita ciptakan berdua.

Jika kau cepat mengakui kesilapanmu, pasti aku akan memaafkanmu. Jika kau nyatakan cintamu tak akan berbelah bahagi pada ku, pasti aku masih lagi milikmu. Jika tidak kerana egomu, pasti kita masih lagi bersama. Jika… jika.. ah!! Terlalu banyak kemungkinan yang akan berlaku jika perkara ini tidak terjadi. Cukuplah sampai di sini, paluan kompang telah kedengaran di luar sana. Maaf Meer… fikirkanlah….. hanyalah JIKA….

Pelawat menemui web ini melalui carian:

hadiah hari jadi untuk teman wanita,hadiah hari jadi untuk kekasih lelaki,hadiah hari jadi,hadiah birthday untuk lelaki,hadiah untuk lelaki yang murah,hadiah hari lahir untuk teman lelaki,cerpen cinta,jenis hadiah untuk lelaki,hadiah hari jadi untuk kekasih perempuan,hadiah hari jadi untuk kekasih,hadiah hari jadi untuk kekasih wanita,hadiah anniversary buat suami,hadiah kesukaan lelaki sempena hari jadi,hadiah anniversary untuk suami,hadiah harijadi untuk isteri,contoh hadiah perpisahan,hadiah hari jadi untuk kawan lelaki,hadiah hari jadi untuk tunang lelaki,hadiah hari jadi untuk adik perempuan,hadiah untuk budak perempuan,hadiah istimewa untuk lelaki,hadiah perpisahan untuk lelaki,tips hadiah untuk lelaki,hadiah hari lahir yang sesuai untuk lelaki,idea hadiah hari jadi lelaki,idea hadiah hari jadi untuk lelaki,cerpen ameera ameer